Adam Radlan kini berdepan 12 tuduhan rasuah, ubah wang haram

Adam Radlan kini berdepan 12 tuduhan rasuah, ubah wang haram

Semua kes melibatkan timbalan ketua Bersatu Segambut itu akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa lagi atas enam tuduhan ubah wang haram menjadikan keseluruhan tuduhan yang dihadapinya kepada 12 kes. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad kini berdepan 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 Nov lalu atas enam lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.7 juta.

Menurut laporan Harian Metro, Adam Radlan, 42, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Adam Radlan sebagai pengarah syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.6 juta dari akaun syarikat itu kepada akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan tiga individu lain antaranya Nabilah Mahiaddin dan Ameer Azlan Mohd Ayob antara 1 Dis 2021 dan 27 Dis 2022.

Sekiranya didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Adam Radlan mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Anita Harun.

Adam Radlan sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas lima tuduhan rasuah dan satu kes pengubahan wang haram membabitkan Projek Jana Wibawa.

Lima pertuduhan membabitkan kes rasuah disebut di hadapan Hakim Azura Alwi, manakala kes pengubahan wang haram disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini, Azura membenarkan enam pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen Shah Alam itu dipindahkan ke mahkamah ini di hadapan Suzana.

Ini menjadikan semua 12 tuduhan yang dihadapi Adam Radlan akan dibicarakan di hadapan Suzana di Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala peguam Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan.

Suzana mengguna pakai jaminan yang sebelum ini ditetapkan di Mahkamah Sesyen di sini iaitu RM420,000 dengan seorang penjamin untuk semua tuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.