Johari cadang pindahan tunai ganti subsidi minyak masak peket

Johari cadang pindahan tunai ganti subsidi minyak masak peket

Bekas menteri kewangan kedua itu berkata kaedah berkenaan mampu mengatasi ketirisan subsidi.

Johari Ghani berkata penguatkuasaan KPDN juga dapat dipermudahkan dengan kaedah pindahan tunai.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan sistem pindahan tunai dilaksanakan untuk menyalurkan subsidi kepada kumpulan layak bagi membeli minyak masak peket.

Johari Ghani (BN-Titiwangsa) berkata menerusi kaedah itu bukan  hanya subsidi sampai kepada B40 dan menjimatkan dana negara, malah memudahkan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, ketika ini negara mengeluarkan 60 juta peket minyak masak sebulan atau 720 juta peket setahun yang dijual pada harga RM2.50 sepeket, disasarkan memanfaatkan 3.2 juta isi rumah B40.

 

Namun katanya, berlaku ketirisan antaranya ada pemborong menjual kepada syarikat mikro dengan harga lebih daripada RM2.50 menyebabkan sasaran subsidi tidak berlaku.

Johari Ghani.

“Saya berpandangan tiba masanya kalau kalau minyak masak ini kita boleh buat pindahan tunai, (contohnya) setiap rumah B40 pakai sekitar 5 kilogram (kg) jadi kita memang nak bagi (subsidi) jumlah itu.

“Perbezaan dengan harga pasaran itu kita buat pindahan tunai jadi KPDN tak payah buat penguatkuasaan,” kata bekas menteri kewangan kedua itu pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh bersetuju dengan cadangan Johari itu yang mampu mengelakkan ketirisan penjualan minyak masak peket.

“Saya setuju apa Titiwangsa (Johari) cakap ada ketirisan dan pindahan tunai mungkin cara terbaik (atasinya),” katanya.

Fuziah berkata mekanisme bagi subsidi bersasar termasuk untuk minyak masak peket akan dilaksanakan apabila mereka menerima data Pangkalan Data Utama (Padu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.