
Mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemui rentung berhampiran kenderaan Honda Jazz berkenaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Fadzil Musa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.04 pagi yang memaklumkan kejadian berkenaan.
“Kemalangan itu membabitkan kereta Honda Jazz yang terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum kenderaan dinaiki tiga beranak itu terbakar.
“Pemandu yang juga bapa bayi berkenaan, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cedera parah akibat melecur seluruh tubuh manakala, isterinya, Nur Hasidah Razmi, 25, cedera ringan.
“Anak mereka ditemui rentung berhampiran kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala kedua-dua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.