
Menceritakan detik cemas itu, Wong Chee Siang, 30-an, berkata banjir kali ketiga dalam tempoh dua tahun itu, menghanyutkan banyak barang perniagaan ayahnya selepas tembok restoran mereka runtuh akibat bencana berkenaan.
“Pertama kali berlaku banjir tahun lepas, manakala kejadian kedua tahun ini dan kali ini yang ketiga. Hujan lebat kira-kira 7 malam menyebabkan air mula naik dua jam kemudian dan berakhir pada 11 malam.
“Saya kerugian lebih RM10,000, termasuk dua peti sejuk dihanyutkan arus deras. Nasib baik kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata, banjir itu mendapat perhatian Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang melawat kawasan banjir.
Sementara itu, tinjauan mendapati kawasan banjir membabitkan sebahagian Kampung Bukit Tinggi dibersihkan pihak berkuasa dengan bantuan anggota bomba sukarela Perting, Bentong dan orang awam.
Selain itu, jalan utama ke Janda Baik melalui Kampung Bukit Tinggi ditutup sementara berikutan jalan rosak akibat banjir, namun orang ramai masih boleh ke Janda Baik menggunakan jalan alternatif.
Jalan Persekutuan FT68, iaitu Jalan Lama Gombak-Bentong bagi Seksyen 43.00 ke 43.40 dan Jalan Pintasan Bukit Tinggi Seksyen 1.98 hingga 2.58 di sini, ditutup kepada semua kenderaan mulai semalam hingga 1 Dis ini ekoran kerosakan struktur jalan.
Jabatan Kerja Raya Daerah Bentong menerusi kenyataan di laman sosial memaklumkan penutupan jalan dekat simpang tiga Janda Baik itu bagi menjamin keselamatan pengguna.
Orang ramai yang ingin ke Janda Baik boleh menggunakan laluan alternatif, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Karak ke Persimpangan Bukit Tinggi menuju stesen minyak BHP Bukit Tinggi dan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi.
Terdahulu, Nik Nazmi semalam dilaporkan berkata, siasatan segera akan dijalankan bagi mengenal pasti punca banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong semalam kerana terdapat dakwaan wujud penerokaan haram di sekitar kawasan hutan simpan.