

Perwakilan PKR Johor, Haryati Abu Nasir, berkata terdapat trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka tidak mahu menyokong kerajaan ketika ini.
“Kami mohon KPM, ada baiknya diwujudkan jawatankuasa pemerhati kerana ada trend membimbangkan dalam kalangan guru, yang tidak menyebelahi kerajaan perpaduan,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, Haryati ketika ditemui pemberita berkata jawatankuasa dicadangkan adalah untuk memantau dan mengenal pasti isu yang menyebabkan kumpulan itu menentang kerajaan.
Katanya, trend penolakan itu perlu ditangani segera kerana jika tidak diselesaikan dengan cermat, ia akan membawa kesan kepada kerajaan.
“Mereka perlu beri sokongan sewajarnya (kepada kerajaan), sebab mereka dalam sektor penjawat awam, secara dasarnya mereka kena sokonglah,” katanya.