
Hidup dikelilingi majoriti masyarakat Melayu, penduduk berbangsa India di kawasan Parlimen itu percaya mereka juga mempunyai hak dan peluang sama, serta berperanan penting dalam membawa pembangunan di kawasan itu.
Berhadapan pilihan raya buat kali ketiga dalam tempoh setahun, anak muda dari Kampung Fikri di sini, E Navin, 24, menaruh harapan tinggi agar Ahli Parlimen yang dipilih dapat menggalas amanah untuk menjaga setiap rakyat di kawasan yang dipimpin, tanpa mengira agama mahupun bangsa.
“Komuniti India di Kemaman ini, kami dah diasimilasi dengan cara hidup masyarakat Melayu, kami tiada masalah, faham dan saling menghormati cara hidup masing-masing.
“Namun, kami harap parti mana sekalipun yang jadi Ahli Parlimen, perlu berhati murni, jaga kebajikan semua penduduk Kemaman sama rata, tak kira kaum dan agama,” kata siswazah lulusan Sarjana Muda Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.
Daripada keseluruhan 141,790 pengundi yang layak mengundi pada PRK kali ini, hanya terdapat kira-kira 800 pengundi India.
PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Navin berkata, antara keperluan utama komuniti India di kawasan itu adalah sebuah dewan komuniti untuk menjalankan aktiviti pembangunan sosial, kebajikan dan kerohanian.
“Di Kemaman ini, ada satu sahaja kuil, iaitu Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Air Puteh, yang menjadi tempat komuniti India berkumpul,” katanya.
“Tetapi tidak semua perkara boleh dilakukan di kuil sebab ia rumah ibadah, jadi kita harus hormat, justeru kami sangat memerlukan dewan komuniti untuk aktiviti sosial.”
Sementara itu, suri rumah dari Kampung Mak Chili, R Vinothini, 38, memohon guru bahasa Tamil ditempatkan di sekolah di Kemaman bagi memberi peluang murid India mempelajari mata pelajaran itu dengan lebih baik, walaupun jumlah mereka sedikit.
“Kalau boleh, kita mahu walaupun murid kurang 15 orang, (mereka) dapat diberi peluang belajar bahasa Tamil untuk menguasai mata pelajaran itu lebih baik.
“Kanak-kanak India kini kebanyakannya boleh bercakap tetapi tidak pandai menulis dan membaca bahasa Tamil dan itu satu kerugian buat masyarakat India,” katanya.
Penternak kambing S Sarita, 30, pula berharap wakil rakyat yang dipilih dapat membantu meningkatkan taraf pendidikan murid India di Kemaman bagi memastikan anak muda komuniti itu tidak tercicir dalam pembelajaran.
“Kami tak perlukan sekolah Tamil sebab kami ini sedikit sahaja, tetapi perlu beri tumpuan kepada pendidikan anak-anak India ini supaya mereka minat belajar, tidak terjebak perkara tidak baik macam dadah dan bantu komuniti India ubah taraf kehidupan mereka.
“Selain itu, tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat juga perlu diberi perhatian kerana kos sara hidup di Kemaman tinggi, sama sahaja macam di Kuala Lumpur, tetapi gaji minimum rendah, jadi tak setanding perkembangan di Kemaman ini,” katanya.
PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.