
Beliau berkata, pada masa ini proses itu melepasi sesi perbincangan di peringkat Jemaah Menteri serta dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
“Sekarang dalam ‘fine tuning’ ayat dan juga bahasa yang akan digunakan dalam penggubalan rang undang-undang,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, selaku setiausaha agung parti.
Menyentuh mengenai sistem parol, perintah kehadiran wajib, dan pembebasan berlesen kepada penghuni penjara, beliau berkata selain dapat mengurangkan kesesakan di penjara, program itu membuahkan hasil positif apabila hanya seorang daripada 800 banduan yang menjalaninya kembali ke penjara.
“Secara teknikalnya mereka adalah penghuni penjara tetapi berada di luar secara fizikal. Kita cari hampir 200 syarikat seperti Panasonic, SWCorp untuk mereka bekerja. Kita akan luncurkan lebih banyak program seperti ini sebagai contoh ihsan kita terhadap penghuni penjara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata satu lagi premis penempatan anak-anak pendatang tanpa izin akan dibuka di Papar, Sabah bulan depan sebagai prinsip ihsan kerajaan terhadap kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa ketika operasi imigresen.
Pada 1 Nov, beliau dilaporkan berkata sebahagian daripada kira-kira 1,000 tahanan kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di 19 depoh imigresen sudah dipindahkan ke pusat penempatan sementara dinamakan Baitul Mahabbah di Nilai, Negeri Sembilan.
Pemindahan kanak-kanak daripada depoh imigresen itu atas dasar kemanusiaan, selaras komitmen kerajaan dalam melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.