Tak adil senarai hitam syarikat berhubung kuota Bumiputera, kata pemaju

Tak adil senarai hitam syarikat berhubung kuota Bumiputera, kata pemaju

Kerajaan negeri sebaliknya perlu cuba faham mengapa pemaju tidak dapat memenuhi syarat tersebut, menurut bekas presiden Rehda.

Tanpa mekanisme automatik membolehkan unit Bumiputera tidak terjual ditawarkan kepada orang ramai, jumlah rumah tidak terjual dikhuatiri akan bertambah.
PETALING JAYA:
Bekas ketua kumpulan utama pemaju hartanah mengkritik kerajaan Selangor atas rancangan menyenarai hitam syarikat yang tidak memenuhi syarat kuota Bumiputera.

“(Kerajaan) negeri tidak patut terlalu berkeras dengan pemaju,” kata Ng Seing Liong, bekas presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

“Perlu terlebih dahulu cuba faham mengapa pemaju tidak dapat ikut peraturan kuota, bukan terus senarai hitam mereka,” katanya kepada FMT.

Awal minggu ini, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah memberitahu DUN bahawa pemaju yang tidak memenuhi syarat kuota Bumiputera akan disenarai hitam daripada memohon pelepasan unit bawah kuota tersebut, dan berdepan denda lebih tinggi.

Ng berkata, kerajaan negeri seharusnya bersikap lebih adil terhadap pemaju. Tambahnya, terdapat pembangunan yang melebihi keperluan kuota Bumiputera.

“Bagaimana dengan lokasi dengan 50% kuota Bumiputera, di mana pemaju capai 100% jualan kepada Bumiputera? Adakah mereka akan terima insentif?”

Beliau mencadangkan pelaksanaan mekanisme pelepasan automatik yang membolehkan unit Bumiputera tidak terjual ditawarkan kepada orang ramai jika projek sudah 50% siap, namun tiada pembeli Bumiputera.

Presiden Rehda NK Tong berkongsi pendapat serupa tentang keperluan wujudnya mekanisme pelepasan automatik dan rangka kerja untuk mengawal selia kuota Bumiputera.

Tanpa mekanisme sedemikian, katanya, lebih banyak rumah akan tidak terjual.

“Keadaan ini mungkin secara tidak sengaja akan menaikkan harga rumah bagi semua orang, termasuk Bumiputera, kerana kos memegang unit yang tidak terjual ini akhirnya akan disalurkan kepada pembeli.

“Lebih membimbangkan, pengumpulan unit tidak terjual boleh mencetuskan isu aliran tunai bagi pemaju, yang berpotensi mengakibatkan projek tertangguh, ‘uzur’, atau terbengkalai,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Chang Kim Loong berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor perlu mengambil langkah pencegahan bagi memastikan pemaju mematuhi syarat kuota Bumiputera.

Ini termasuk menghendaki pengarah syarikat pemaju menandatangani surat aku janji dan akuan berkanun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.