
Panel tiga hakim terdiri daripada P Ravinthran, Mariana Yahya dan Lim Chong Fong memutuskan bahawa prosiding yang mahu dihadiri bekas perdana menteri itu terhad kepada pendengaran injunksi Mareva di Mahkamah Tinggi yang selesai pada 27 Sept lalu.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah secara dalam talian, Ravinthran berkata perkara berkaitan injunksi Mareva kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikat, bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam rayuan ini akan bersifat akademik.
“Tiada apa-apa yang menghalang perayu (Najib) untuk memfailkan permohonan lain (untuk beliau menghadiri perbicaraan rayuannya di Mahkamah Rayuan),” katanya ketika menolak rayuan Najib tanpa perintah kos.
Mengenai beberapa pemerhatian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakiman bertulisnya yang dibangkitkan perayu, Ravinthran berkata ia adalah pandangan mahkamah bahawa perkara itu boleh ditangani dalam permohonan masa depan di Mahkamah Rayuan.
Pada 10 Nov tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustafa Yusoff Ahmad menolak permohonan Najib untuk menghadiri prosiding itu. Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.
1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified memfailkan saman terhadap Najib, bekas pengarah kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, dan bekas ketua pegawai kewangan Vincent Beng dan Radhi Mohamad.
Pada 27 Sept lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mengetepikan injunksi Mareva bagi menghalang beliau daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia bernilai USD681 juta (RM3.2 bilion).
Tahun lepas, syarikat itu memperoleh injunksi terhadap Najib atau ejennya, membekukan asetnya berhubung tuntutannya sebanyak USD681 juta terhadapnya (Najib) sebelum selesai saman sivil.
Beliau telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.
Injunksi Mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.