
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata sepanjang tempoh itu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan seramai 15,307 orang bagi pelbagai kesalahan dadah.
“Tangkapan itu antaranya membabitkan 126 tokan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Semua tokan ini dikenakan perintah tahanan dan sekatan dua tahun di pusat pemulihan akhlak.
“Selain itu, sebanyak 592 orang terdiri daripada pengedar dan penagih turut diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul berkata, tangkapan itu adalah hasil tindakan dan operasi bersepadu bagi mengekang aktiviti pengedaran serta penyeludupan dadah ke negara jiran.
Beliau berkata, operasi itu termasuk Op Tapis Khas dijalankan berkala dengan memfokuskan kawasan “hot spot” di jeti nelayan, projek perumahan rakyat, Felda dan kawasan penagih.
“Menerusi Op Tapis sahaja, sebanyak 1,478 orang ditahan sepanjang operasi dijalankan atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya yang meminta masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan dadah menerusi hotline JSNJ 012 2087222.