
Ini berlaku selepas Agensi Nuklear Malaysia berkata, ia telah menghasilkan idea untuk mengekstrak torium. Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkata ia bercanggah dengan kenyataan sebelum ini oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang bahawa cadangan itu datang daripada Lynas sendiri.
“Kami tidak mahu Lynas berkata dalam beberapa tahun ini bukan niat mereka tetapi (mereka hanya mengikut) arahan Agensi Nuklear Malaysia. Kami memerlukan penjelasan untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku,” kata Ahli Parlimen Kota Melaka DAP Khoo Poay Tiong pada sidang media di Parlimen.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, juga daripada DAP mempersoalkan keputusan kerajaan memperbaharui lesen Lynas walaupun syarikat itu mengeluarkan 1.2 juta tan metrik sisa radioaktif.
“Kita telah menolak sisa plastik yang diimport, jadi mengapa sekarang kita membenarkan sisa radioaktif Lynas kekal di negara kita, yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk tempatan?” soalnya.
Pada Oktober, kerajaan mengumumkan lesen operasi Lynas diperbaharui, membolehkan syarikat itu terus mengimport dan memproses nadir bumi hingga Mac 2026.
Lanjutan itu membenarkan aktiviti keretakan dan larut lesap pengeluar nadir bumi Australia diteruskan di Malaysia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada Lynas untuk memastikan kandungan radioaktif dalam sisa penulenan larut lesap air (WLP) adalah bawah 1 becquerel (Bq) setiap gram.
Item bawah 1Bq/g tidak dianggap sisa radioaktif oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan oleh itu tidak berada bawah bidang kuasa Akta Perlesenan Tenaga Atom.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Rawi Zin memberitahu sebuah forum bahawa agensi itu menyedari terdapat pasaran untuk torium, logam radioaktif, sebagai bahan api untuk loji kuasa nuklear bagi menghasilkan haba kepada turbin kuasa.