Cikgu muzik didakwa amang seksual murid

Cikgu muzik didakwa amang seksual murid

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh.

Mohamad Nazmi Mohamed Nazri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid perempuan.
PETALING JAYA:
Seorang guru muzik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun 4, dalam kejadian Jun dan Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazmi Mohamed Nazri, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun enam bulan di bilik muzik sebuah sekolah di Ipoh sekitar 9.45 pagi Jun lalu.

Bapa kepada tiga anak itu turut didakwa melakukan perbuatan sama sekitar 10.30 pagi di lokasi sama, Julai lalu, menurut Sinar Harian.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan hendaklah diletakkan bawah pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi akan mengganggu mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam, Syahrul Nizam Mohd Rabi memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana anak guamnya tidak pernah mengganggu saksi pendakwaan selepas aduan dibuat selain menghidap penyakit jantung dan anemia.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.