Adakah kepelbagaian kesatuan baik untuk pekerja?

Adakah kepelbagaian kesatuan baik untuk pekerja?

Semakin banyak kesatuan sekerja untuk kumpulan pekerja yang sama, semakin lemah kuasa tawar-menawar mereka.

Wakil daripada Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (Camu), yang mengatakan pindaan itu ‘menggagalkan konsep perpaduan pekerja’. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kontroversi pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang memansuhkan sekatan ke atas penubuhan badan sebegitu tidak disambut baik kesatuan sekerja.

Walaupun Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berharap pindaan itu akan mewujudkan kesatuan yang “sihat, matang dan progresif”, pengkritiknya berpendapat bahawa memudahkan pembentukan kesatuan baharu menimbulkan risiko besar.

FMT melihat lebih dekat terhadap pindaan, kesatuan sekerja dan mengapa mereka merasakan pergerakan yang lebih bersatu adalah cara terbaik untuk melindungi hak dan kepentingan pekerja di Malaysia.

Apa peranan kesatuan?

Kesatuan menyediakan suara kolektif untuk pekerja dan memainkan peranan penting dalam perundingan kolektif, di mana mereka berunding dengan majikan bagi pihak ahli mereka untuk mendapatkan gaji, faedah dan keadaan kerja yang lebih baik.

Mereka juga berusaha untuk melindungi pekerja daripada pemecatan sewenang-wenangnya atau layanan tidak adil dengan mendesak langkah keselamatan kerja yang lebih baik, yang boleh merangkumi peruntukan dalam kontrak yang menggariskan syarat di mana pekerja boleh diberhentikan.

Selain daripada merundingkan protokol dan piawaian keselamatan dengan majikan, kesatuan sekerja menawarkan bantuan undang-undang kepada ahli yang mungkin menghadapi masalah di tempat kerja. Sesetengah kesatuan sekerja juga menyediakan peluang latihan dan pembangunan profesional untuk ahli mereka.

Pindaan terbaru mengenai apa?

Pada 10 Okt lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 bertujuan menghapuskan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja.

Sivakumar berkata, pindaan itu akan membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan atau industri.

Beliau juga berkata, pindaan itu selaras prinsip kebebasan berpersatuan, di mana pekerja bebas untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka.

Mengapa kontroversi timbul?

Kebimbangan adalah kepelbagaian kesatuan sekerja. Sekumpulan kesatuan yang dikenali sebagai Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (Camu) secara konsisten menyatakan bantahannya terhadap pindaan itu, dengan mengatakan kepelbagaian kesatuan sekerja “menggagalkan konsep perpaduan pekerja”.

Pengerusi Camu, Rudy Rusly, berkata pindaan itu akan “memudaratkan” perpaduan kesatuan dan melemahkan kuasa tawar-menawar mereka, sambil menambah keputusan Mahkamah Persekutuan 2017 telah memutuskan kepelbagaian kesatuan sekerja mewujudkan ketidakharmonian.

Rudy juga menekankan risiko “kesatuan boneka” yang boleh menjadi proksi kepada majikan atau pihak lain.

“Kebebasan berpersatuan tidak bertujuan untuk menggalakkan kepelbagaian kesatuan sekerja bagi kumpulan pekerja yang sama kerana ia melemahkan kuasa tawar-menawar dan membawa kepada perpecahan dalam kalangan pekerja.

“Prinsip kebebasan berpersatuan bertujuan bagi mengekang kuasa majikan dan kerajaan untuk menghalang pekerja daripada menyertai kesatuan sekerja dan dengan berbuat demikian mengukuhkan kuasa tawar-menawar dan perlindungan sosial pekerja.”

Bagaimana pindaan itu akan menjejaskan rundingan kolektif?

Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank, A Karuna, berkata kesatuan sekerja akan berjuang antara satu sama lain untuk mendapatkan kuasa berunding dengan majikan dalam proses perundingan kolektif.

“Majikan yang tidak bertanggungjawab juga boleh menyebabkan kesatuan sekerja bersaing satu sama lain, yang membawa kepada peningkatan dalam tindakan antikesatuan,” katanya.

Beliau berkata, majikan juga mungkin menerapkan pilih kasih dengan mengiktiraf kesatuan sekerja pilihan, sekali gus menangguhkan perundingan kolektif.

Pekerja akan kurang bernasib baik dalam jangka masa panjang dan tidak dapat melindungi diri daripada majikan.

Bagaimana ini akan menjejaskan pekerja?

Jurucakap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Industri Minuman, Abdul Jabbar Mohamad Nor, bersetuju kepelbagaian kesatuan sekerja untuk mewakili pekerja yang sama dalam industri boleh melemahkan kuasa tawar-menawar kolektif mereka.

Beliau berkata, memandangkan hanya satu kesatuan sekerja yang berhak berunding dengan majikan, ini akan mewujudkan persaingan tidak sihat dan konflik dalam kalangan kesatuan sekerja – kedua-duanya bertentangan dengan kepentingan pekerja.

“Pertikaian berpanjangan boleh menjejaskan rundingan kolektif dan kenaikan gaji, ketika pekerja menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.