Suis pemati sedia diguna dalam konsert Coldplay malam ini, kata menteri

Suis pemati sedia diguna dalam konsert Coldplay malam ini, kata menteri

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Puspal serta penganjur konsert.

Konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini adalah sebahagian daripada siri jelajah dunia Music of the Spheres kumpulan rock British itu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Suis pemati (kill switch) akan digunakan semasa konsert kumpulan rock British, Coldplay, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) serta penganjur konsert.

“Perbincangan dengan Puspal dan penganjur positif. Kami (juga) positif dengan penganjuran konsert itu hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak CxO Pemimpin Transformasi Digital: Transformasi Digital Pintar dalam Era 5G hari ini.

Suis pemati berfungsi menghentikan secara tiba-tiba sesuatu penganjuran konsert yang melanggar garis panduan ditetapkan.

Dalam pada itu, Fahmi turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam yang akan beroperasi sehingga lewat malam bagi memudahkan pergerakan lalu lintas.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa konsert itu dibatalkan bagi menghormati situasi semasa di Gaza, Palestin, selain bimbang insiden tidak senonoh seperti ketika persembahan kumpulan rock The 1975 pada Julai lepas berulang.

Konsert Coldplay yang akan berlangsung di Bukit Jalil malam ini adalah sebahagian daripada siri jelajah dunia Music of the Spheres kumpulan muzik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.