
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata sindiket itu dipercayai rangkaian sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan Jabatan Imigresen di Langkawi, Kedah, awal tahun ini.
Beliau berkata, 17 individu termasuk penyelia pusat panggilan yang merupakan warga tempatan berusia 35 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 12.23 tengah malam itu.
Katanya, sindiket yang menyasarkan warga Britain sebagai mangsa dengan menawarkan kerja sambilan tidak wujud menerusi laman web, dipercayai beroperasi di premis mewah itu sejak September lalu.
“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek terdiri 13 lelaki dan satu wanita warga tempatan serta tiga lelaki warga asing berusia 17 hingga 40 tahun sedang mengendalikan operasi pusat panggilan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan ialah menggunakan nombor telefon prabayar dari Britain untuk menghantar pesanan ringkas secara rambang ke semua nombor telefon rakyat negara itu dengan tujuan memperdaya mereka dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud,” katanya pada sidang media di IPK Melaka, menurut Bernama.
Zainol berkata, sindiket itu akan berkomunikasi dengan mangsa menerusi Telegram dan WhatsApp berdasarkan skrip dalam bahasa Inggeris yang disediakan, serta mangsa perlu mendaftar di laman web dihantar sebelum ditawarkan dengan pekerjaan memberi “rating” yang baik pada laman web palsu diberikan sindiket.
Beliau berkata, komisen sebanyak 0.35 USDT bagi setiap “rating” yang diberi oleh mangsa dan segala transaksi tersebut menggunakan mata wang kripto (USDT) dikawal ketua sindiket terbabit.
“Mangsa yang berminat untuk meneruskan tugas tersebut dikehendaki memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan komisen dijanjikan sebelum menyedari terpedaya dengan penipuan itu apabila tidak memperoleh komisen sepatutnya.
“Selain itu, siasatan juga mendapati semua 17 suspek yang ditahan dibayar gaji RM4,000 seorang sebulan tidak termasuk komisen 10% daripada jumlah wang diperoleh daripada mangsa, katanya.
Katanya, siasatan awal turut mendapati lima daripada 17 suspek berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan semua direman empat hari bermula hari ini. Kes disiasat bawah Seksyen 420 kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana melakukan pakat jahat jenayah.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 18 set komputer, 60 unit telefon bimbit dan dua kenderaan bernilai lebih RM100,000.