LKAN 2022: Ramalan banjir tak tepat di 306 kawasan berisiko

LKAN 2022: Ramalan banjir tak tepat di 306 kawasan berisiko

Laporan LKAN 2022 mendedahkan sebanyak 20 stesen hidrologi tidak pernah diselenggara manakala 335 stesen lagi diselenggara melebihi tempoh dua bulan, yang ditetapkan.

LKAN turut mendedahkan tiada pemakluman dikeluarkan di 183 kawasan telah mengalami banjir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 306 (94.4%) daripada 324 kawasan berisiko banjir tidak menepati ramalan amaran bencana, dengan kadar ketepatan hanya pada 5.6% menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB).

Sementara itu, sebanyak 183 kawasan telah mengalami banjir tetapi tiada pemakluman dikeluarkan bagi lokasi berkenaan dalam laporan mengenai banjir terkini, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dikeluarkan hari ini.

“Kawasan yang tidak dinyatakan secara khusus di dalam hebahan amaran banjir memberi risiko kepada kesiapsiagaan penduduk di kawasan terlibat untuk menghadapi kemungkinan banjir,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendedahkan sebanyak 20 stesen hidrologi tidak pernah diselenggara manakala 335 stesen lagi diselenggara melebihi tempoh dua bulan, yang ditetapkan.

Kelemahan itu juga menyebabkan sebanyak 51 daripada 83 hebahan atau amaran banjir tidak dapat dikeluarkan dua hari sebelum bencana diramalkan berlaku.

PRAB dilaksanakan dengan dua fasa iaitu pelaksanaan Fasa 1 bermula 2015 hingga 2024 melibatkan Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang membabitkan peruntukan RM145 juta.

Fasa 2 telah bermula pada 2018 dan dijangka siap pada 2025 melibatkan 38 lembangan sungai seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM385 juta.

Ia bertujuan menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir yang efektif dan berkesan kepada orang awam bagi meminimumkan impak sosial dan ekonomi disebabkan banjir besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.