
Menurut laporan itu, terdapat kelemahan dalam penyediaan dasar berhubung sukatan senjata api dan amunisi serta berlaku kes kehilangan senjata api milik jabatan dan agensi bawah KDN.
Juga berlaku kelemahan tindakan penguatkuasaan Akta Senjata 1960 bagi pembaharuan lesen senjata api yang boleh menjejaskan kawalan senjata api oleh polis, selain kelemahan pengurusan pelupusan senjata api boleh menimbulkan risiko keselamatan.
“Perjanjian bagi kontrak pelupusan ke atas pelbagai jenis senjata lama dan lusuh berserta aksesori milik polis telah ditandatangani antara KDN dengan Syarikat X pada 1 Okt 2012 dengan tempoh perjanjian hingga 30 Sept 2014.
“Fasal lima perjanjian menyatakan nilai perjanjian tidak kurang daripada RM7.50 juta, merujuk Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 7 Sept 2012, syarikat berkenaan akan membekalkan senjata berserta aksesori dan mengadakan latihan dua hari sebagai gantian pelupusan pelbagai jenis senjata tersebut,” menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat.
Laporan itu memaklumkan semakan audit mendapati polis menyerahkan pelbagai jenis senjata lama dan lusuh berserta aksesori secara berperingkat antara 5 Okt 2012 hingga 11 Nov 2014, tetapi pada Oktober 2014, syarikat terbabit hanya menyerahkan RM1.16 juta aksesori kepada polis.
“Semakan audit mendapati tiada tindakan susulan diambil KDN terhadap syarikat berkenaan bagi memastikan ia memenuhi obligasi kontrak, yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta.”
KDN dalam maklum balasnya terhadap perkara itu memberitahu ia sudah mengemukakan surat kepada syarikat terbabit Jun lalu bagi menuntut obligasi kontrak tersebut dipenuhi segera dan tindakan undang-undang akan diambil, jika gagal.
“KDN menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk mendapatkan maklumat terperinci dan mencadangkan tindakan sewajarnya kepada pihak terlibat, selain akan membuat perolehan secara tender terbuka dan tidak akan melaksanakan perolehan senjata api secara perdagangan tukar barang.”
Menurut laporan itu lagi, perolehan yang tidak diurus dengan cekap menyebabkan polis tidak mendapat bekalan senjata api sepatutnya dan kerajaan menanggung kerugian jika tindakan lebih tegas tidak diambil bagi memastikan syarikat memenuhi obligasi kontrak.
Pihak audit mengesyorkan KDN dan polis memastikan syarat kontrak dipatuhi sepenuhnya supaya kerajaan memperoleh nilai terbaik bagi setiap perolehan, selain KDN dan polis juga hendaklah mengkaji dari aspek perundangan tindakan yang boleh diambil, jika syarikat gagal memenuhi obligasi kontrak.