
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pihaknya akan menetapkan tarikh baharu untuk merakam keterangan lelaki itu.
“Beliau tak hadir sebab kurang sihat. Tarikh baharu (rekod keterangan) akan dimaklum kemudian,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, pengamal media mula berkampung di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, seawal 4 petang tadi selepas “Mr H” dilaporkan akan memberi keterangan di situ.
Razarudin sebelum ini mengesahkan individu berkenaan akan dirakam keterangan di balai polis itu pada 5.30 petang.
Bagaimanapun, selepas menunggu hingga 9 malam kelibat “Mr H” tidak kelihatan.
Sebelum ini, tular klip video memaparkan perbualan didakwa lucah seorang lelaki didakwa mirip Agus dengan Wahab, selepas timbul spekulasi Agus akan melepaskan jawatannya.
Polis sedang menyiasat video itu yang mana Agus dan Wahab mendakwa ia disuai pinda.
Agus berkata, beliau sudah mendedahkan kepada polis identiti individu di sebalik klip video itu digelar sebagai “Mr H”.