
Aziz Abd Rahman berkata, sesetengah Ahli Parlimen mungkin merasakan memberi sokongan kepada kerajaan semasa satu-satunya pilihan untuk menangani isu asas di kawasan mereka.
Bekas Adun Mentakab dan Ahli Parlimen Bera di Pahang itu berkata, “isu asas (ini) paling penting” dan menyelesaikannya ialah sebab utama seseorang itu dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Beliau juga presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), yang terdiri daripada bekas Ahli Parlimen dan Adun.
Katanya, dinamik politik di Malaysia sudah berubah dan Ahli Parlimen sedia menyelaraskan diri dengan Pejabat Perdana Menteri disebabkan kedudukannya sebagai penyalur sumber, sambil mengekalkan keahlian dalam parti masing-masing.
“Norma baharu ini didorong faktor seperti inflasi, kenaikan kos sara hidup dan paras gaji minimum ketinggalan zaman,” katanya kepada FMT sambil menambah faktor ini menjadi punca banyak keresahan, khasnya di kawasan bandar.
Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Mereka ialah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Mereka dilaporkan berkata, tindakan itu diambil demi kepentingan pengundi, dengan Suhaili berkata, beliau sudah menerima peruntukan bagi dana pembangunan kawasannya selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Susulan itu, Bersatu menggantung keahlian Suhaili dan Iskandar, masing-masing enam dan empat tahun.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya tidak menjangkakan pengundi akan kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen pembangkang menyokong perdana menteri memandangkan pembangkang tiada kedudukan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi.
Beliau memberi contoh Adun Hulu Kelang, Azmin Ali yang menang selepas meninggalkan PKR untuk menyokong Bersatu pada 2020.
Beliau percaya kemenangan Azmin di Hulu Kelang menyerlahkan kecenderungan pengundi memilih wakil rakyat yang mampu menyampaikan perkhidmatan kepada kawasan mereka.
Azmin, bekas timbalan presiden PKR, memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional dan Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri.