
“Sekiranya kamu meraih kekayaan di negara ini, sekiranya kamu mampu membelanjakan RM20,000 untuk beg tangan atau RM50,000 untuk seutas jam sudah pasti kamu mampu menyumbang sedikit kepada negara,” katanya dalam satu wawancara dengan FMT.
Kerajaan sebelum ini dikritik berhubung rancangan memperkenalkan 5% hingga 10% cukai barangan mewah dalam usaha meningkatkan asas pendapatan kerajaan. Peruncit seperti Persatuan Perhiasan Emas India Malaysia memberi amaran ramai peniaga mungkin akan mengalami kerugian besar.
Terdapat juga kebimbangan cukai itu akan mencetuskan persepsi bahawa Malaysia adalah destinasi membeli-belah yang mahal walaupun pelancong asing dikecualikan cukai itu. Golongan berpendapatan sederhana yang menyimpan wang untuk membeli barangan mewah juga mungkin terpaksa berbelanja lebih.
Sim berkata, walaupun kerajaan mempunyai pilihan dalam bentuk percukaian yang lain, tetapi kerajaan tidak mahu memperkenalkan cukai yang akan menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.
“Diingatkan bahawa ini adalah cukai penggunaan. Sekiranya kamu tidak membeli (barangan mewah) kamu tidak dikenakan cukai. Tetapi sekiranya kamu membeli sesuatu yang mahal barulah kamu menyumbang sedikit lagi.”
Bagaimanapun, Sim berkata kerajaan sedar kebimbangan mengenai cukai ini dan sebab itulah kerajaan melibatkan pemegang taruh sebelum mengumumkan rancangan cukai tersebut.
Berkenaan dengan pengecualian untuk pelancong, katanya keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas bahawa pelancong mungkin memilih untuk berbelanja di negara lain jika mereka terpaksa membayar cukai.
“Ini akan menghalang pelancong daripada melawat Malaysia dan oleh itu, jabatan cukai bersetuju (untuk tidak mengenakan cukai kepada pelancong) untuk mengelakkan memberi kesan kepada industri pelancongan,” katanya.
Sim berkata kerajaan juga cuba menangani kebimbangan sektor yang berbeza, termasuk menetapkan had yang boleh dikenakan cukai terutama untuk barang yang juga dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.
“Ia tidak spesifik kepada jenama. Ia beberapa kategori item, katakanlah beg tangan, perhiasan, jam dan sebagainya, dan terdapat had harga (untuk setiap kategori).”
Mengenai berapa banyak wang yang kerajaan sasarkan untuk raih dari cukai barangan mewah, Sim berkata kerajaan belum menetapkan jumlah tersebut.