
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata beliau optimis bacaan kali pertama RUU itu dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 ini menutup tirai pada 30 Nov.
Beliau berkata pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 juga akan dibuat bersekali pembentangan RUU Suruhanjaya Kanak-kanak Malaysia.
“Selepas RUU Perbekalan 2024 selesai, kami ada tiga hari untuk pembentangan RUU lain, jadi kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.
“Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga RUU Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen,” katanya selepas meninjau Pameran Hari Kanak-kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 hari ini.
Pada masa sama, Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.
“Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan, terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak…Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak.”