
Muhamad Sobri Osman, 63, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmal Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang tunai RM4 juta daripada John Abad Pe sebagai dorongan membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan REE di Kedah melalui memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat itu dengan MBI Kedah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Hatyai, Thailand pada 20 Mei lepas.
Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan memohon mengguna pakai peruntukan bawah Seksyen 66 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan mana-mana warganegara dan pemastautin tetap Malaysia yang melakukan kesalahan bawah akta itu di luar negara boleh didakwa di negara ini.
Bagi pertuduhan kedua pula, Sobri didakwa menerima suapan wang tunai RM1 juta daripada Abad Pe melalui Liyana Mamat@Khalid sebagai dorongan membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan REE di Kedah melalui MoU syarikat itu dengan MBI Kedah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di perkarangan tempat letak kereta Wisma Darul Aman, Jalan Tunku Bendahara, di sini pada 29 Mei lepas.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Sobri didakwa bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala pihak pembelaan memohon jaminan RM60,000 bagi dua pertuduhan itu kerana tertuduh tidak lagi bekerja dan perlu menyara isteri serta seorang anak masih belajar.
Mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan kes.