
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan lanjut kes itu masih diteruskan.
“Seramai 10 orang ditahan setakat ini membabitkan kes tersebut. Kes masih dalam siasatan, ini semua berkenaan penjejakan wang, akaun dan banyak forensik kewangan untuk dibuat,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang akhbar di pejabat JSJK, di sini.
Akhir bulan lalu, polis dilaporkan menahan dua lagi wanita dan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes itu, menjadikan keseluruhan 10 individu, termasuk pengasas bersama syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd, pemegang saham, peguam dan beberapa kakitangan i-Serve.
Ramli dilaporkan berkata, pihaknya merampas 12 kenderaan daripada dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, seunit CPU dan 10 barang kemas.
Siasatan ke atas i-serve dan rangkaian syarikat di bawahnya bermula 17 Okt lalu apabila pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah itu ditahan bersama isteri dan anaknya di kediaman mereka di Shah Alam.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.