
Saman itu yang difailkan pada Julai membabitkan pengambilalihan kerajaan ke atas pegangan Halim dalam kumpulan Renong-UEM pada 2001.
Sebagai alternatif, defendan, yang juga termasuk kerajaan dan bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop mahu Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu di bawah bidang kuasanya.
Dalam permohonan yang difailkan minggu lalu, defendan juga meminta semua prosiding lain dalam saman itu digantung sehingga permohonan pembatalan diputuskan.
Nor Mohamed yang memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan itu, berkata Renong mempunyai hutang berjumlah RM26 bilion semasa kemuncak Krisis Kewangan Asia 1997, yang membentuk 7% daripada keseluruhan sistem perbankan pada masa itu.
Akibatnya, katanya, Mahathir bersetuju dengan cadangannya supaya Renong dan UEM distruktur semula.
“Cadangan itu boleh dilaksanakan dengan mengambil UEM secara persendirian dan membuat tawaran am kepada pemegang sahamnya melalui Syarikat Danasaham Sdn Bhd (Danasaham),” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.
Beliau berkata dana kekayaan negara Khazanah Nasional Berhad, melalui anak syarikatnya, Danasaham, bersetuju untuk mengambil alih bahagian UEM, dan sokongan Halim adalah perlu untuk menjayakan tawaran am itu.
Nor Mohamed berkata Halim dengan rela hati menyokong cadangan itu dan pelaksanaan itu selesai pada 8 Okt 2001.
“Saya menegaskan bahawa pemerolehan saham plaintif tidak dilakukan secara paksa. Terdapat beberapa siri perbincangan sebelum pampasan dibayar,” katanya.
Beliau berkata Halim menyerahkan kepada Mahathir untuk menentukan pampasan yang perlu dibayar dan paling penting, beliau mahu bebas daripada sebarang hutang.
Nor Mohamed berkata Halim dibayar RM165 juta kerana kehilangan kawalan ke atas Renong. Sejumlah RM45 juta telah dibayar pada 22 Mei 2003, dengan bakinya dibayar pada hari berikutnya.
Beliau berkata Halim telah memfailkan saman 10 tahun lalu, mendakwa dia tidak berpuas hati dengan bayaran RM165 juta itu, tetapi tindakan itu dibatalkan.