Jangan komen kes enakmen syariah Kelantan, Tengku Maimun ingatkan peguam

Jangan komen kes enakmen syariah Kelantan, Tengku Maimun ingatkan peguam

Ketua hakim negara itu berkata peguam terikat dengan peraturan amalan dan etika, tidak wajar bagi mereka membincangkan kes yang sedang berjalan.

Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan bahawa kes membabitkan enakmen syariah Kelantan ini tidak melemahkan akidah Islam mahupun Mahkamah Syariah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengingatkan peguam yang terlibat dalam kes cabaran perlembagaan terhadap enakmen syariah Kelantan supaya tidak mengulas mengenai kes itu semasa ia sedang berjalan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan peguam yang tampil di depannya bahawa sebagai anggota Badan Peguam yang terikat dengan peraturan amalan dan etika sedia ada, tidak wajar bagi mereka membincangkan kes yang sedang berjalan.

“(Mahkamah) mengingatkan semua agar menegakkan kedaulatan undang-undang dan tidak cuba mempengaruhi masyarakat awam,” katanya.

Awal hari ini, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, memberitahu mahkamah bahawa salah seorang peguam yang hadir, Yusfarizal Yussoff, didakwa mengeluarkan komen berhubung kes itu pada 16 Sept.

Tengku Maimun kemudian meminta Yusfarizal, yang bertindak bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), mengesahkan sama ada beliau membuat kenyataan seperti yang diadukan Nik Elin dalam afidavitnya.

Nik Elin mendakwa Yusfarizal berkata bahawa cabaran perlembagaan wanita itu akan “membenam” kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam respons, Yusfarizal berkata, beliau akan menjawab afidavit Nik Elin selepas menyemak rakaman dan transkrip acara di mana beliau dikatakan membuat kenyataan itu.

Tengku Maimun kemudian mengulangi kenyataan mahkamah, yang sebelum ini dibuat pada 17 Ogos, bahawa kes itu membabitkan cabaran terhadap kecekapan DUN Kelantan untuk menggubal peruntukan bagi 18 kesalahan.

Beliau menegaskan bahawa kes itu tidak melemahkan akidah Islam mahupun Mahkamah Syariah.

“Banyak perkara yang disebut tentang petisyen ini (di luar mahkamah) ialah versi yang diputar belit,” katanya.

Nik Elin dan Tengku Yasmin mempertikaikan bahawa 18 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak sah memandangkan terdapat undang-undang persekutuan meliputi kesalahan yang sama.

Peruntukan yang dipertikaikan menyentuh dakwaan palsu; memusnahkan dan mencemarkan tempat ibadat; pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual; memberikan keterangan palsu, dan memalsukan dokumen.

Menurut mereka, kuasa menggubal undang-undang mengenai perkara jenayah hak eksklusif Parlimen, dengan DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan peruntukan-peruntukan berkenaan batal dan tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.