
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata selain Agus individu lain dikaitkan dalam video itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
“Kita akan merakam keterangan Agus esok, manakala Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
“Terdapat individu lain dijangka dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya menurut Sinar Harian.
Dalam pada itu, Razarudin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu bergelar “Mr H” yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Semalam, dilaporkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes daripada polis Selangor.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Agus dengan seorang individu lain.
Agus pada sidang medianya di sebuah hotel di Bangi, mendakwa video itu disuai pinda dan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.