Bahan letupan tercicir, orang awam diminta beri maklumat

Bahan letupan tercicir, orang awam diminta beri maklumat

Polis berkata kejadian Selasa lalu disedari lelaki membawa letupan itu yang sepatutnya dihantar ke kuari di Puchong.

Pengadu mendapati sekotak bahan letupan jenis ‘cast booster 400GMS’ berkurangan dan memeriksa jalan dilalui tetapi tidak menjumpainya. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Sebuah kotak berisi bahan letupan dipercayai tercicir dari sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki, kata Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.28 malam Selasa lalu daripada lelaki berusia 28 tahun itu yang mengesyaki bahan letupan terbabit tercicir ketika dalam perjalanan untuk dihantar ke kuari di kawasan Puchong.

“Semasa pengadu dan rakannya berada di jalan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang, pengadu perasan terdapat kenderaan dari belakang memberi lampu isyarat yang mengatakan bonet Nissan Navara dinaiki mereka terbuka,” katanya menurut Bernama.

Ridhwan berkata, pengadu kemudian memberhentikan kenderaan dan menutup semula bonet itu tanpa mengesyaki ada barang tercicir kerana keadaan lalu lintas agak sibuk serta berbahaya.

“Pada 8.25 pagi, pengadu bersama rakannya telah sampai ke lokasi dan semasa menurunkan barang, pengadu mendapati sekotak bahan letupan jenis ‘cast booster 400GMS’ berkurangan dan memeriksa jalan yang dilalui tetapi tidak menjumpai kotak tersebut,” katanya.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai membabitkan bahan letupan dan orang awam yang mempunyai maklumat atau menjumpai bahan terbabit diminta ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Zulfadzly di talian 016 4123834.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.