
“Kami sudah menerima laporan (dari Farhash) dan kami sudah memulakan siasatan,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain kepada wartawan selepas satu program hari ini.
Pada Selasa lalu, Farhash berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana menuduh beliau terbabit merasuah dan mengancam Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong kerajaan.
Bagaimanapun, Farhash yang juga bekas pegawai Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan Wan Fayhsal dan berkata, beliau tidak lagi terbabit dengan politik.
Wan Fayhsal berkata beliau mengalu-alukan Fashash membuat laporan polis terhadapnya kerana beliau hanya mengulangi dakwaan dalam laporan polis yang dibuat Pemuda Bersatu sebelum ini.
Ahli Parlimen Machang itu sebelum ini mendakwa Farhash dan seorang lagi individu dikenali sebagai “Datuk Botak” adalah individu dalam satu video yang tersebar di Facebook dan TikTok.
Ini susulan tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang baru-baru ini menyatakan sokongan kepada kerajaan dengan alasan untuk mendapatkan peruntukan untuk kawasan masing-masing.
Empat Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata buat masa ini tiada ugutan secara langsung diterima perdana menteri susulan kritikan beliau terhadap Israel.
“Kami masih mengumpul risikan dan keselamatan negara ketika ini pada tahap yang sangat baik,” katanya.
Menurutnya, tiada laporan polis dibuat berhubung ugutan itu.
Sebelum ini, Razarudin berkata polis meningkatkan tahap kawalan keselamatan Anwar selepas perdana menteri mendedahkan bahawa beliau menerima beberapa ancaman dari negara Barat.