MKN pantau ancaman keganasan di media sosial

MKN pantau ancaman keganasan di media sosial

Majlis Keselamatan Negara keluarkan arahan baharu mengenai SOP berkaitan keganasan dan ia jadi garis panduan menangani ancaman keganasan.

MELAKA:
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa memantau secara menyeluruh ancaman keganasan di pelbagai medium termasuk di media sosial, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Ia termasuk sebarang ancaman keganasan susulan pendirian tegas dan sokongan Malaysia kepada Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan itu,” katanya kepada pemberita, selepas majlis penutup Latih Amal Keselamatan Menyeluruh 2023 melibatkan pelbagai agensi dan pihak swasta.

“MKN juga telah mengeluarkan arahan baharu mengenai tatacara operasi standard berkaitan keganasan baru-baru ini dan ia akan menjadi garis panduan untuk pihak berkuasa menangani ancaman keganasan tersebut.”

Raja Nushirwan berkata kerajaan tidak ambil mudah isu keselamatan negara dalam apa juga konteks ancaman termasuk ancaman palsu, malah MKN sentiasa memperkemas SOP serta tahap kesiapsiagaan semua pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata insiden keganasan di negara jiran seperti insiden tembakan di pusat beli-belah di Thailand pada Oktober lepas menjadi peringatan untuk sentiasa berwaspada.

“Isu keganasan ini kita kena lihat secara menyeluruh termasuk kemungkinan aktiviti ‘lone wolf’ iaitu pembabitan seorang individu dalam gerakan keganasan,” katanya.

Pada Oktober lepas, media melaporkan pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel di Johor menerima ancaman bom menerusi panggilan telefon namun disahkan palsu oleh pihak polis.

Ancaman palsu itu disyaki dilakukan seorang lelaki warga asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.