
Ketua Pengarah Kesihatan, Radzi Abu Hassan, berkata melalui penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau, sebanyak 6,290 kompaun ditawarkan dengan nilai RM1,457,300.
“Sebanyak 22,361 premis dilawati dengan 10,051 notis kesalahan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan mengenai pencapaian tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawah undang-undang kesihatan awam bagi Okt 2023.
Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit untuk tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, Radzi berkata sebanyak 3,453 tawaran kompaun bernilai RM1,726,500 dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun.
Menurutnya, sejumlah 385 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama, sebanyak 137 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM262,160.
Sementara itu, sebanyak 2.6% atau 163 daripada 6,273 premis makanan yang diperiksa pada bulan lepas melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 akta sama.
“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.
Radzi berkata KKM sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
“Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir diambil oleh KKM. Orang ramai serta semua pihak diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” katanya.