Isu tangkapan ikan secara haram dibincang pertemuan Malaysia, Vietnam

Isu tangkapan ikan secara haram dibincang pertemuan Malaysia, Vietnam

Turut dibincang dalam pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong itu adalah isu Laut China Selatan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong ketika mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di San Francisco di Amerika Syarikat semalam. (Gambar Bernama)
SAN FRANCISCO:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong bersetuju meningkatkan kerjasama bagi menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.

“(Malaysia) mendapatkan kerjasama dan komitmen yang berterusan dari Vietnam dalam usaha memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia,” kata Anwar.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu Laut China Selatan dan bersetuju mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan serta menggesa diwujudkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan.

Perdana menteri memaklumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Vo di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC semalam.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Ahli Parlimen Sim Tze Tzin.

Beliau turut mengulangi jemputan kepada presiden Vietnam untuk mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 2024.

Anwar berkata mereka turut membincangkan kaedah untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama antara Malaysia dan Vietnam.

Hanoi adalah rakan dagangan ke-12 terbesar Malaysia di peringkat dunia serta yang keempat negara dalam blok ASEAN selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pada 2022, nilai dagangan dua hala terus meningkat sebanyak 16.4% kepada USD19.44 bilion berbanding USD16.7 bilion pada 2021 dan dari segi pelaburan, Malaysia adalah pelabur ke-10 terbesar Vietnam selepas Singapura dan Thailand.

Vietnam juga meminta Malaysia memudahkan kemasukan produk halal dari negara itu dan menjalin kerjasama dalam pensijilan halal.

Anwar berkata Hanoi turut mengucapkan terima kasih kepada negara kerana telah melatih para pegawainya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

“Vietnam menyarankan agar diadakan kerjasama bandar berkembar antara negara itu dengan Malaysia,” katanya.

Kedua-dua pemimpin mengesahkan kesatuan dalam Asean dan mengulangi sokongan terhadap Laos sebagai pengerusi Asean pada 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.