
Senator Ti Lian Ker berkata, tempoh kesusahan dan ketidakstabilan semasa menjadikan sambutan sedemikian tidak sesuai dan mungkin tidak sensitif.
“Rakyat menderita akibat mata wang yang semakin merosot dan keadaan pasaran semakin teruk,” katanya kepada FMT.
Katanya, pencapaian kerajaan kelihatan terhad dalam kalangan ahli politik semata-mata, sedangkan rakyat masih bergelut dengan cabaran kewangan dan sosial.
Bekas timbalan menteri belia dan sukan berkata, sambutan selama tiga hari mungkin tidak menarik minat orang ramai yang tidak nampak sebab untuk meraikannya.
“Tiada sebab untuk meraikan (setahun pentadbiran kerajaan semasa) kerana banyak janji reformasi meleset daripada jangkaan.
“Wang, masa dan tenaga atau sumber boleh digunakan dengan lebih baik atau lebih produktif untuk memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, mempersoalkan keperluan mengadakan sambutan berpanjangan, memetik kurangnya kepercayaan kepada kerajaan dan pencapaiannya.
“Pindaan undang-undang kewarganegaraan regresif. Tambahan, pengekalan undang-undang yang menindas seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Hasutan 1948 bukan sesuatu yang perlu diraikan, selain usaha memerangi rasuah perlu diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, mencadangkan sambutan itu boleh dianggap sebagai kegagalan menyebarkan secara berkesan pencapaian dasar kerajaan sepanjang setahun lalu.
“Tidak perlu sambutan untuk menjelaskan pencapaian dasar, sepatutnya dah dibuat sepanjang setahun lepas,” katanya.
Semalam dilaporkan Putrajaya akan menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Dis ini, setahun selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Menurut sekretariat program itu, selain mempromosikan inisiatif baharu, ia juga dianjurkan untuk membina keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
Sejak memegang jawatan pada November 2022, Anwar menjanjikan beberapa pembaharuan, termasuk dalam menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, beliau mendapat kecaman daripada pemerhati dan Ahli Parlimen pembangkang kerana kadar pelaksanaan reformasi berkenaan dilihat lembap dan rakyat terus berdepan kesusahan.