
Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata, terdapat segmen yang masih belum dimuktamadkan dan sedang dirunding antara kedua-dua negara.
Menurutnya, kedua-dua negara sebelum ini telah memeterai perjanjian berhubung sempadan dan air pada 7 Ogos 1995.
“Perjanjian ini merupakan satu-satunya perjanjian persempadanan perairan di antara kedua-dua negara di mana sebelum tahun 1995, sempadan perairan Malaysia-Singapura di Selat Tebrau adalah berdasarkan pertengahan alur air,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).
Wee meminta penjelasan tindakan diambil kerajaan susulan insiden nelayan tempatan dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di Kawasan Pasir Laba.
Pada 16 Ogos lalu, Adun Kota Iskandar Pandak Ahmad berkata beliau akan membawa usul berkaitan pemetaan semula persempadanan perairan Singapura dan Malaysia susulan timbul beberapa isu melibatkan nelayan tempatan di Selat Tebrau dan pihak berkuasa Singapura yang menjaga perairan itu.
Katanya, perkara itu perlu dilihat secara serius daripada kerajaan negeri dan persekutuan agar langkah pemetaan dapat dibuat dengan kadar segera.
Pada Okt tahun lalu, berlaku insiden pertengkaran mulut sekumpulan nelayan tempatan dan pihak berkuasa Singapura di kawasan Pasir Laba berdekatan jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di sini.
Terbaharu dua hari lalu, empat nelayan tempatan mendakwa jaring mereka rosak dilanggar bot pihak berkuasa Singapura di perairan Selat Tebrau, juga berhampiran jambatan Linkedua.