
Bekas setiausaha Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) Rosli Mahat berkata, universiti menggunakan amalan penyelidikan tidak beretika dan membelanjakan sumber yang besar untuk melonjakkan kedudukan dalam ranking universiti global.
Beliau mendakwa universiti menggalakkan amalan memanipulasi pemetikan (citation) dan pengarangan (authorship) untuk meningkatkan skor penerbitan.
Pemetikan dimanipulasi dengan menambah kertas penyelidikan terkemuka sebagai rujukan untuk meningkatkan legitimasi sesuatu kerja. Selain itu, turut berlaku nama seseorang dimasukkan sebagai pengarang sesebuah kertas penyelidikan walaupun tidak menyumbang kepadanya.
“Penyelidikan semasa tidak menumpukan pada (menerbitkan) pengetahuan baharu, sebaliknya pada penerbitan karya. Antara perkara yang dipertimbangkan: ‘Berapa banyak kertas kerja yang boleh dihasilkan daripada projek ini?’
“Ini bukan motivasi yang tepat untuk penyelidikan,” kata Rosli kepada FMT.
Rosli berkata, kedudukan universiti dalam ranking akan naik secara semula jadi apabila asas-asas akademik yang baik, seperti kualiti program dan pensyarah, dikukuhkan.
“Universiti tempatan hanya bekerja keras untuk menambah baik penunjuk ranking QS, seperti bilangan kertas kerja yang diterbitkan, serta pelajar dan pensyarah asing di kampus.
“Pada pendapat saya, ini bukan penunjuk bagi universiti yang bagus. (Penunjuk) sepatutnya bilangan pensyarah dan penyelidik profesional,” katanya.
Pada 8 Nov, The Star melaporkan bahawa Universiti Malaya telah terkeluar daripada kedudukan 10 teratas dalam Ranking Universiti Dunia QS: Asia 2024.
Dalam ranking tersebut, UM berada pada kedudukan ke-11, jatuh dua anak tangga daripada tahun sebelumnya. Sementara itu, kedudukan Universiti Putra Malaysia (UPM) naik daripada 27 kepada 25, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada kedudukan ke-30 kepada 28.
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sependapat dengan Rosli dengan berkata, kedudukan dalam ranking bukanlah matlamat utama universiti.
Mengakui kedudukan tinggi dalam ranking akan meningkatkan reputasi universiti Malaysia dan menarik kemasukan pelajar asing, beliau berkata, universiti harus memberikan tumpuan pada usaha menambah baik inti pati dan kualitinya.
“Kedudukan tinggi (dalam ranking) tidak berguna jika universiti contohnya tidak mesra orang kurang upaya, alam sekitar, masyarakat terpinggir dan golongan tertindas,” kata Maszlee.
Sementara itu, pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim menggesa universiti awam menghapuskan pemilihan kaum dalam kemasukan pelajar jika ingin meningkatkan ranking.
“(Universiti awam harus) secara beransur-ansur melonggarkan kelebihan bagi kaum dominan seperti yang diperuntukkan menerusi Dasar Ekonomi Baharu dan menggalakkan pelajar mengambil kursus yang akan membawa kemakmuran ekonomi,” katanya.