Isu jual lot Bumiputera: Adun DAP gesa syarikat disenarai hitam

Isu jual lot Bumiputera: Adun DAP gesa syarikat disenarai hitam

Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze mahu tindakan diambil kerajaan bagi melindungi pembeli rumah.

Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze mencadangkan sistem pelaporan penjualan rumah sentiasa dikemas kini mengelak isu penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor disaran mewujudkan sistem pelaporan penjualan rumah antara Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan pemaju yang dikemas kini setiap minggu oleh pemaju bagi mengelak isu penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

Adun Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, berkata sistem diamalkan di Singapura itu dicadang dilaksanakan berikutan terdapat beberapa laporan mendakwa pembeli bukan Bumiputera yang membeli lot Bumiputera terpaksa membayar penalti ekoran ditipu pemaju yang tidak mendedahkan status sebenar lot dijual kepada mereka.

“Sebagai kerajaan negeri, kita perlu melihat kepada sistem sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan untuk melindungi pembeli rumah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Pembekalan 2024 di DUN.

Katanya, laporan itu perlu merangkumi antaranya harga setiap unit, unit berstatus lot Bumiputera, lot terjual dan butir pembeli lot tersebut, bagi mengelak wujudnya isu penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

Selain itu, katanya LPHS perlu mengenakan ke atas pemaju untuk membayar jaminan bank yang boleh dilucuthakkan jika pemaju tersebut menjual lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera tanpa pelepasan.

Beliau berkata, undang-undang juga perlu dipinda supaya kerajaan negeri boleh menuntut kerugian daripada pengarah pemaju ataupun pengarah syarikat induk pemaju berkenaan, supaya mereka tidak boleh gulung tikar untuk mengelak daripada bertanggungjawab.

Michelle turut mencadangkan syarikat pemaju, syarikat induknya, dan pengarah berkenaan yang didapati menjual lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera disenaraihitamkan dan semua projek pembangunan yang berkaitan mereka tidak diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.