Curi basikal teman lelaki, polis tahan wanita

Curi basikal teman lelaki, polis tahan wanita

Polis berkata wanita itu ditahan selepas disyaki mencuri basikal dan beberapa perkakas elektrik dari rumah teman lelakinya.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata suspek wanita yang tidak bekerja itu ditahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mencuri beberapa perkakas elektrik dan sebuah basikal milik teman lelakinya dari sebuah rumah di Ampang pada September lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 54 tahun bahawa barang-barang itu hilang dari rumahnya di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana pada 16 September lalu.

“Pengadu mengesyaki teman wanitanya telah membawa keluar barang itu tanpa kebenaran.

“Pengadu telah menghubungi teman wanitanya dan suspek mengaku telah mengambil barang berkenaan serta enggan untuk memulangkan semula. Jumlah kerugian dianggarkan RM3,000,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Azam berkata, susulan laporan itu polis berjaya mengesan dan menahan wanita berusia 37 tahun tersebut di Kuala Lumpur pada pagi Selasa lalu.

“Kita telah merampas kembali beberapa barang kes iaitu sejumlah perkakasan elektrik rumah dan sebuah basikal,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki dan wanita itu apabila suspek mengajak kekasihnya berkahwin.

“Suspek yang tidak bekerja tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.