Mahkamah ketepi keputusan lepas tanpa bebas aktivis rakam serbuan polis

Mahkamah ketepi keputusan lepas tanpa bebas aktivis rakam serbuan polis

Peguam Wong Yan Ke berkata, hakim Mahkamah Tinggi menyerahkan semula perkara itu kepada Mahkamah Majistret untuk ditetapkan bagi sebutan.

Wong Yan Ke didakwa bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari ‘perintah diisytiharkan penjawat awam’.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) aktivis Wong Yan Ke dan kes itu akan ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret.

Peguam Shashi Devan mewakili Wong berkata, hakim mengetepikan keputusan DNAA dan menyerahkan semula perkara itu kepada Mahkamah Majistret untuk ditetapkan bagi sebutan.

“Perkara itu kini kembali ke perbicaraan, pendirian yang kami fikir betul.

“Sudah tentu kami akan kembali ke mahkamah untuk mempertahankan Wong dalam perbicaraan,” katanya di luar mahkamah hari ini.

Wong didakwa bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari “perintah diisytiharkan penjawat awam”.

Aktivis itu ditahan pada 7 Nov 2020, ketika polis menyerbu kediaman aktivis Yap Wen Qing berhubung siasatan ke atas satu artikel disiarkan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) berkaitan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Wong merakam serbuan polis menggunakan telefon bimbitnya.

Umany menyiarkan artikel bertajuk “Yang di-Pertuan Agong should not intervene in national affairs” di laman Facebooknya, tetapi ia menarik balik artikel terbabit dan memohon maaf kepada Agong menerusi catatan Facebook pada 12 Nov 2020.

Shashi menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu kemenangan kecil.

“Kami tidak pernah minta DNAA. Ini sesuatu yang kita perlu jelaskan sejak awal.

“Wong sentiasa percaya dia berhak mendapat perbicaraan adil, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan dia mahu dibicarakan di mahkamah bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.”

Wong sebelum ini berkata, perbicaraan belum dimulakan bagi kesnya.

“Tiada juga ada kes prima facie terhadap saya. Tambahan, saya tidak mengemukakan sebarang surat representasi memohon penarikan balik pertuduhan dan pihak pendakwaan (juga) tidak memohon DNAA.”

Dia yang mempertimbangkan untuk memfailkan semakan bagi pembebasan sepenuhnya, berkata walaupun memahami keputusan majistret, ia “tidak mencapai hasil diingini”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.