11 kes hukuman mati, penjara sepanjang hayat disemak semula

11 kes hukuman mati, penjara sepanjang hayat disemak semula

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata semakan itu dilaksanakan di Mahkamah Persekutuan.

Pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Tujuh banduan hukuman mati bagi kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 telah melalui semakan hukuman mati bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 hari ini.

Selain itu, seramai empat banduan juga melalui semakan bagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat bawah akta sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata kedua-dua penyemakan itu dilaksanakan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya selepas mekanisme pelaksanaannya dipersetujui Jemaah Menteri.

“Ini membuktikan bahawa prinsip ‘restorative justice’ dalam sistem keadilan jenayah adalah sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Azalina berkata pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah di negara ini.

“Namun, pengenaan hukuman mati bukan lagi mandatori seperti sebelum ini dan pindaan undang-undang telahpun memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam mengenakan hukuman sewajarnya seperti diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan,” katanya.

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dikuatkuasakan pada 4 Julai, manakala Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 Sept.

Pada 3 April, dua rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat dengan beberapa pindaan termasuk memansuhkan hukuman mati mandatori kepada pesalah melibatkan beberapa akta termasuk Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bawah pindaan itu, tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, sebaliknya hukuman pemenjaraan antara 30 tahun hingga 40 tahun.

Azalina berkata, secara keseluruhan terdapat seramai 1,020 banduan hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat layak mengemukakan permohonan.

“Setakat 9 Nov, pihak Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) menerima permohonan semakan sebanyak 978 kes iaitu 861 permohonan bagi semakan hukuman mati dan 117 permohonan semakan pemenjaraan sepanjang hayat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.