Guna LRT pantas, tetapi perlu naik bas sejam untuk ke stesen

Guna LRT pantas, tetapi perlu naik bas sejam untuk ke stesen

Pengguna LRT mendakwa berdepan kesulitan menggunakan khidmat bas perantara untuk mencapai stesen.

Kerajaan memperuntukkan RM600 juta untuk perolehan 150 bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas baharu tetapi pakar sebaliknya menggesa agar perkhidmatan bas pengantara ditambah baik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perjalanan Veronica Elankovan ke tempat kerja tidak lama dengan menaiki LRT – tetapi kadangkala, beliau terpaksa menaiki bas selama sejam untuk ke stesen dari rumahnya.

Malah, jarak dari rumahnya ke hentian bas bukan dekat.

“Saya sering perlu minta ibu hantar ke stesen (LRT), atau saya akan naik Grab,” katanya kepada FMT.

Katanya, bas tidak kerap melalui kawasan kejiranannya di Puchong.

“Kadang-kadang saya perlu tunggu (bas) lebih sejam,” katanya apabila ditemui di Stesen LRT Asia Jaya.

Jadual bas tiba juga tidak tetap, menurut Veronica, 30. Ada bas tidak tiba tepat pada masanya, dan pada masa lain, tiga bas untuk laluan sama tiba sekali.

Pelajar Raymond Lee, yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke sekolah berkata, dia bergantung kepada ibu bapanya untuk menghantarnya ke stesen LRT terdekat kerana tiada stesen bas pengantara yang boleh dicapainya dengan berjalan kaki.

“Jika ibu bapa saya tak dapat (hantar), saya sering guna naik Grab. Setiap perjalanan menelan belanja lebih RM10. Naik bas mesti lagi murah,” kata Lee yang tinggal di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur.

“Perlu ada lebih stesen bas di kawasan kediaman; nampak macam ada (lebih banyak) di kawasan bandar,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Timothy Cheah berkata, terdapat sebuah hentian bas berdekatan dengan rumahnya di Taman Alam Damai, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Namun, beliau sering terpaksa menumpang rakan-rakan atau ahli keluarganya kerana hentian bas tersebut dalam keadaan yang sangat uzur.

“Kenudahan tak lengkap, cuma ada tiang tanda, dan saya kena tunggu (bas) di tepi jalan,” katanya.

“Kawasan sekitarnya pula ditumbuhi pokok-pokok yang tidak dibersihkan. Saya sentiasa jadi ‘makanan’ nyamuk apabila menunggu bas di situ, jadi saya tidak kerap menggunakan (hentian bas tersebut).”

Aduan tiga pengguna LRT ini menyerlahkan keperluan bas pengantara yang sering dibangkitkan oleh pakar pengangkutan.

Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa RM600 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 untuk Prasarana Malaysia Bhd memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas baharu.

Bagaimanapun, peruntukan itu dipersoalkan oleh perunding pengangkutan Rosli Khan, yang menggesa kerajaan agar menumpukan perhatian pada meningkatkan kecekapan bas pengantara Rapid KL. Perkhidmatan pengantara ke stesen LRT kini lebih dikuasai perkhidmatan kereta persendirian seperti Grab, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.