
SPRM berkata, pegawainya dilarang terlibat dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP).
Sementara itu, berhubung isu penyelewengan dana Mitra, SPRM menjelaskan pihaknya selesai membuat siasatan berhubung isu berkenaan dari 2019 hingga 2021.
“Susulan itu, SPRM telah berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah, manakala (dalam) dua kes, tertuduh mengaku salah,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.
“Hasil dapatan siasatan, SPRM juga telah mengambil tindakan mengkaji tatakelola pengurusan dana Mitra untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana Mitra kepada masyarakat India di negara ini.”
Agensi itu mengeluarkan kenyataan hari ini bagi memperbetul fakta dalam laporan dua akhbar berbahasa Inggeris semalam, bertajuk “MACC stations officer at Mitra for greater transparency” dan “MACC Officers to join Mitra meeting”, yang menurutnya mungkin akan mengelirukan umum.
Mengulas lanjut, SPRM berkata, Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India oleh Mitra telah diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Feb 2022.
“…(ia) sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan,” katanya.