
Aris Awang, 53, berkata lembu miliknya itu ditemukan dalam keadaan cedera pada bahagian belakang badan bersama janin anak lembu yang dikatakan ditarik keluar haiwan pemangsa itu pada Jumaat, kira-kira 10 pagi.
Bagaimanapun, Aris berkata kira-kira 11 pagi hari ini beliau mendapati bangkai lembu itu telah diseret hingga ke pinggir bukit kira-kira 50m dari lokasi asal dan bangkai janin telah tiada.
Kejadian itu katanya pertama kali berlaku selama dia mengusahakan ternakan lembu sejak lebih lima tahun lalu dan mengakui sebelum ini pernah melihat kelibat harimau belang.
“Kami telah memaklumkan kes serangan ini kepada Perhilitan dan berharap pihak tersebut membuat siasatan segera,” katanya.
Pekebun dan penternak, Mohd Faizul Mohd Nor, 35, pula berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak ternakan lain terkorban akibat serangan haiwan pemangsa itu.
“Selain itu kami juga bimbang untuk keluar bekerja di kebun kerana harimau berkenaan dikatakan masih berkeliaran,” katanya.
Sementara itu, Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim turut berharap Perhilitan dapat melaksanakan tindakan drastik sebelum perkara tidak diingini berlaku kepada lebih 50 pekebun termasuk penternak di kawasan itu.
“Tindakan susulan seperti pemasangan perangkap dan pemantauan daripada anggota Perhilitan perlu dilakukan bagi meredakan kebimbangan penternak dan pekebun,” katanya.