Kembalikan program sarapan percuma di sekolah, kata pakar

Kembalikan program sarapan percuma di sekolah, kata pakar

Murid, terutamanya daripada keluarga miskin, didapati mengalami kekurangan zat makanan dan pertumbuhan terbantut.

Idea sarapan percuma untuk murid pertama kali dicetuskan oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik pada 2019, namun digugurkan kerana kos yang tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan harus menghidupkan semula program sarapan percuma untuk murid sekolah rendah yang dibatalkan agar kekurangan zat makanan dan kes pertumbuhan terbantut dapat dibendung, kata seorang pakar.

Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia Poh Bee Koon berkata, inisiatif itu penting kerana ramai murid tidak bersarapan sebelum sesi persekolahan bermula. Program sarapan percuma, katanya, akan membantu mengurangkan kes pertumbuhan terbantut.

Pada 2019, pentadbiran Pakatan Harapan memulakan program perintis untuk menyediakan sarapan percuma kepada murid tetapi menghentikannya disebabkan kekangan bajet.

“Pada masa ini, kebanyakan murid makan pada 10 pagi, ketika waktu rehat. (Sarapan) akan membantu kanak-kanak meningkatkan bidang perhatian dan menunjukkan prestasi kognitif lebih baik.

“Anak-anak kita mesti makan dengan sempurna dan sihat tubuh badan,” katanya kepada FMT.

Pengerusi kluster penyelidikan kesihatan dan perubatan lanjutan UKM itu menambah, kanak-kanak yang bersarapan secara amnya lebih sihat, dapat belajar dengan lebih berkesan, dan menunjukkan prestasi lebih baik dalam peperiksaan.

Pemakanan yang betul pada usia sekolah rendah boleh membantu mengimbangi masa yang hilang dan menggalakkan perkembangan sihat pada usia remaja, katanya.

Kerajaan baru-baru ini mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 30% daripada kanak-kanak usia muda, terutamanya daripada keluarga miskin, mengalami pertumbuhan terbantut.

Ini sebahagian besarnya kerana ibu bapa berpendapatan rendah tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat minggu lepas.

Tinjauan kesihatan dan morbiditi negara tahun lepas mendedahkan bahawa masalah pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak meningkat daripada 17.1% pada 2015 kepada 21.2% pada 2022.

Idea sarapan percuma untuk murid pertama kali dicetuskan oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik pada 2019. Pada masa itu, dianggarkan kos memberi makan 2.7 juta murid di seluruh negara akan mencecah antara RM2 bilion dan RM3 bilion setahun.

Jepun, India, Brazil dan Finland adalah antara negara yang menjalankan program sarapan percuma untuk murid.

Poh, yang mengetuai kajian serantau terhadap 14,000 kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun dua tahun lepas berkata, Malaysia mengalami masalah nutrisi dari segi kekurangan zat makanan serta vitamin dan mineral, dan obesiti.

Kajian itu juga mendedahkan bahawa masalah pertumbuhan terbantut dan anemia terus berlaku, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang lebih muda, manakala kanak-kanak yang lebih tua sebaliknya menunjukkan kecenderungan lebih tinggi mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Sebilangan besar kanak-kanak tidak memenuhi pengambilan harian kalsium dan vitamin D yang disyorkan.

Kajian mendapati, di Malaysia, 30% kanak-kanak berusia antara tujuh dan 12 tahun mempunyai berat badan berlebihan, dan satu daripada tiga kanak-kanak tidak makan sarapan.

Kajian itu turut mendapati penurunan dalam pemakanan tenusu, sumber utama kalsium dan protein.

“Kanak-kanak yang makan makanan daripada sumber haiwan termasuk susu sebagai sebahagian daripada diet seimbang akan mendapat nutrisi lebih baik,” katanya.

“Kemungkinan kes-kes bantut berlaku dalam kalangan orang miskin, kerana harga makanan tinggi dan ibu bapa tidak dapat memberi makan anak-anak mereka dengan baik,” kata Poh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.