Syed Saddiq bersalah tuduhan pecah amanah, ubah wang haram

Syed Saddiq bersalah tuduhan pecah amanah, ubah wang haram

Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mendapati bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada bernilai lebih RM1 juta.

Hakim Azhar Abdul Hamid berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar itu melampaui keraguan munasabah.

Azhar akan mendengar rayuan Syed Saddiq dan hujahan kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman.

Syed Saddiq didapati bersalah bersubahat dengan Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya.

Syed Saddiq ketika itu adalah ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.

Beliau juga didapati bersalah menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq juga didapati bersalah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 hingga 19 Jun 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.