Kerani wanita rugi lebih RM585,000 ditipu pelaburan tak wujud

Kerani wanita rugi lebih RM585,000 ditipu pelaburan tak wujud

Polis berkata mangsa menggunakan semua wang simpanan dan menggadai barang kemas untuk menyertai skim pelaburan tidak wujud itu.

Ketua Polis Jasin Ahmad Jamil Radzi berkata kerani bank berusia 52 tahun itu ditipu selepas dihubungi seorang wanita yang menawarkan skim pelaburan dengan keuntungan tinggi.
JASIN:
Seorang kerani wanita “berputih mata” apabila rugi RM585,700 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pelaburan rendah dengan keuntungan tinggi menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Jasin Ahmad Jamil Radzi berkata kerani bank berusia 52 tahun itu pada mulanya dihubungi oleh seorang suspek wanita pada 5 Okt lepas yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai perunding agensi pelaburan.

“Suspek menerangkan kepada mangsa mengenai skim dan pelan pelaburan selama tiga hingga enam jam yang mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM15,467 dengan pelaburan serendah RM300.

“Suspek juga menarik minat mangsa dengan memberitahu bahawa pelaburan ini tiada caj broker, tiada caj tersembunyi, pemindahan pulangan dengan segera dengan kos pelaburan rendah dan membawa pulangan keuntungan besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Jamil berkata mangsa kemudiannya bersetuju untuk melabur dan membuat satu transaksi berjumlah RM300 ke dalam akaun bank atas nama seorang lelaki bagi memulakan pelaburan itu.

Beliau berkata mangsa juga membuat 64 transaksi ke dalam 31 akaun bank berjumlah RM585,400 dengan pelbagai tujuan bagi pelaburan itu.

“Namun sehinggalah pada 27 Okt lepas, mangsa diberitahu kononnya dia diminta pihak syarikat telekomunikasi membuat bayaran pendahuluan bagi menyelesaikan bil telefon untuk pelaburan itu sebanyak RM10,000 dan berasa tertipu untuk membayar bil tersebut.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan pada 7 Nov lepas kira-kira pukul 11.40 pagi di IPD Jasin dan memberitahu sumber kewangan untuk pelaburan itu daripada wang simpanan selain barang kemas yang dijual dan digadai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.