4 Ahli Parlimen Bersatu mahu tukar tempat duduk di Dewan Rakyat, kata speaker

4 Ahli Parlimen Bersatu mahu tukar tempat duduk di Dewan Rakyat, kata speaker

Johari Abdul berkata undang-undang antilompat tidak terpakai kerana mereka hanya isytihar sokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Johari Abdul berkata beliau akan menghubungi Ahli Parlimen terbabit untuk membincangkan kedudukan di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Empat Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon menukar tempat duduk mereka di Dewan Rakyat, kata Speaker Johari Abdul.

“Mereka menghantar surat kepada saya hari ini, dan saya akan lihat susunan kerusi di Dewan Rakyat dahulu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Johari berkata, beliau akan menghubungi Ahli Parlimen terbabit untuk membincangkan perkara itu dalam “mesyuarat tidak rasmi”.

Katanya, undang-undang antilompat tidak terpakai kerana mereka hanya mengisytihar menyokong pentadbiran Anwar.

“Apa yang berlaku ialah mereka menyatakan sokongan (untuk Anwar)…jadi kerusi mereka tidak akan dikosongkan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik mengumumkan menyokong kerajaan, menjadikannya Ahli Parlimen Bersatu keempat berbuat demikian sejak 12 Okt lalu.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim berkata beliau memutuskan untuk menyokong Anwar bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Dua lagi Ahli Parlimen Bersatu, Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) sebelum ini menyokong pentadbiran Anwar dengan alasan sama.

Keempat-empat mereka menyatakan kekal setia kepada Bersatu.

Bagaimanapun, Bersatu menggantung Suhaili selama enam tahun dan Iskandar empat tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.