
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima aduan mengenai kejadian membabitkan lelaki berusia 49 tahun yang kini menetap di Australia itu menerusi seorang peguam, Jumaat lalu.
“Kejadian bermula pada 16 Sept lepas apabila mangsa menerima tawaran melalui laman web syarikat dikenali sebagai TMGM untuk melabur sebanyak USD18,888 dan akan menerima keuntungan USD100,000 dalam tempoh tiga jam selepas itu.
“Tawaran itu dikatakan diberi bersempena ulang tahun ke-10 syarikat TMGM dan mangsa percaya dengan keuntungan ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa melakukan 12 transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank Malaysia yang keseluruhannya berjumlah RM846,500 antara 16 Sept hingga 26 Sept, namun setelah bayaran dibuat mangsa tidak menerima pulangan dijanjikan dan percaya dirinya ditipu.
Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada.