Sebahagian dana dalam akaun Najib dari Arab Saudi, mahkamah diberitahu

Sebahagian dana dalam akaun Najib dari Arab Saudi, mahkamah diberitahu

Bagaimanapun pegawai penyiasat kes 1MDB Najib Razak berkata polis tidak mendapatkan penyata akaun bank dari Arab Saudi.

Najib Razak dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
KUALA LUMPUR:
Pegawai penyiasat kes 1MDB Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi beberapa transaksi direkodkan dalam akaun AmBank bekas perdana menteri itu yang berlaku pada 2011 melibatkan dana berasal dari Arab Saudi.

Foo Wei Min, daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata semasa siasatan mereka, Najib memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau menjangkakan sumbangan dari Arab Saudi.

Ketika disoal balas peguam Najib, Shafee Abdullah, Foo mengesahkan beberapa transaksi berasal daripada “Putera Faisal Turki Al Saud” dan “Kementerian Kewangan Riyadh”.

Bagaimanapun, katanya polis tidak memperoleh penyata bank dari Arab Saudi sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

Beliau berkata, seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, menyediakan salinan penyata bank daripada beberapa negara kepada polis, tetapi bukan dari Arab Saudi.

Shafee kemudian bertanya kepada Foo jika dia tahu sumber wang yang dipindahkan oleh “Putera Faisal Turki Al Saud” dan “Kementerian Kewangan Riyadh” ke akaun Najib.

Foo berkata wang itu berasal daripada 1MDB.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat Shafee bahawa terdapat “ruang kosong” dalam siasatannya kerana polis tidak memperoleh penyata bank daripada dua pihak tersebut.

Foo berkata, siasatannya memfokuskan kepada penerimaan, penggunaan, dan pemindahan wang yang diperoleh secara tidak sah dalam akaun Najib.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana yang didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion didepositkan dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.