
Peguam Cecil Abraham memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti) telah membaharui lesen operasi anak guamnya sehingga Mac 2026.
Pembaharuan lesen itu, yang dibuat bulan lepas, akan membolehkan Lynas terus mengimport dan memproses unsur nadir bumi bagi tempoh dua tahun lagi.
Bagaimanapun, permohonan itu tidak ditarik balik hari ini kerana pihak-pihak tidak dapat mencapai persetujuan berhubung terma perintah persetujuan untuk direkodkan oleh mahkamah.
Abraham memberitahu Wan Ahmad Farid bahawa beliau telah menyediakan draf perintah itu, tetapi dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili menteri Chang Lih Kang dan kerajaan, tidak dapat bersetuju dengan syaratnya.
Peguam persekutuan Sallehuddin Md Ali memberitahu mahkamah, kerajaan hanya dapat bersetuju dengan satu terma, iaitu penarikan balik permohonan itu tanpa perintah berhubung kos.
Pengurusan kes kemudian ditetapkan pada 14 Nov untuk membolehkan pihak-pihak setuju sepenuhnya dengan terma-terma tersebut.
Pada Ogos, mahkamah membenarkan permohonan Lynas untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengenakan beberapa syarat ke atas lesen operasinya.
Pengeluar nadir bumi Australia itu mahu mencabar syarat-syarat yang melarang pengimportan dan pemprosesan lantanida pekat mulai 1 Jan 2024.
Chang menolak rayuan Lynas agar empat syarat pelesenan, yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom pada Mac 2020, digugurkan selepas didengar pada 28 April.
Operasi retak dan larut lesap di kilang di Gebeng, Pahang, sepatutnya dihentikan selepas 1 Julai, tetapi Chang berkata, Lynas diberikan lanjutan enam bulan sehingga 31 Dis untuk mengelak sebarang gangguan kepada rantaian bekalan nadir bumi global.