
Sheila Sharon Steven Kumar, 35, atau lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Sheila didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 27 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta, sebuah pusat beli-belah di Brickfields pada jam 5.26 petang, 16 Jun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman manakala Sheila diwakili peguam M Manoharan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sheila dibebaskan dengan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Dis ini untuk serahan dokumen.