
Peguam mewakili Na’im, Akberdin Abdul Kadir berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak hari ini.
Katanya, Leong turut mengarahkan Wan Azri membayar kos sebanyak RM8,000 kepada Na’im.
Pada 30 Okt, Na’im memperoleh injunksi interim sementara menunggu perbicaraan inter parte (kedua-dua pihak) hari ini.
Dalam samannya, beliau mendakwa Wan Azri, yang juga bekas exco Pemuda Umno, menuduhnya terlibat dalam “skandal seks” menerusi sebuah video berunsur fitnah yang dimuat naik di Facebook bulan lepas.
Na’im turut menyaman Wan Azri berhubung dakwaan bahawa beliau gagal mengambil langkah menjaga kesucian agama Islam dalam perkara membabitkan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee.
Lee baru-baru ini terlibat dalam kontroversi disebabkan tafsirannya terhadap ayat al-Quran. Perkara itu dilaporkan telah selesai susulan pertemuan antara Na’im dan Lee, yang memohon maaf atas perkara itu.
Wan Azri turut dikatakan menuduh Na’im menyokong DAP.
“Plaintif (Na’im) ingin menyatakan bahawa polis telah melepaskannya daripada sebarang dakwaan salah laku seks.
“(Ahli Majlis Kerja Tertinggi) Lokman Noor Adam turut menarik balik dakwaan serupa,” kata Na’im dalam pernyataan tuntutannya.
Na’im turut mendakwa Wan Azri bertegas membuat pelbagai kenyataan berunsur fitnah terhadapnya walaupun isu membabitkan Lee telah selesai.
Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan punitif daripada Wan Azri.
Pengurusan kes bagi saman itu ditetapkan pada 22 Nov.